Impian ke Olimpik kian pudar selepas tewas pusingan pertama
KEAJAIBAN yang dicari daripada Hafiz Hashim (gambar) untuk menyelamatkan kempen Olimpiknya tidak menjelma sebaliknya hanya kehambaran berterusan disajikan tatkala juara Seluruh England 2003 itu tersingkir di pusingan pertama kejohanan badminton Siri Super Terbuka Korea di Seoul, semalam.
Perseorangan utama negara, Lee Chong Wei, pula tidak menghadapi masalah apabila hanya memerlukan 23 minit untuk membelasah Andrew Dabeka dari Kanada 21-9, 21-9 dan kemungkinan besar akan berdepan pemain tuan rumah Lee Hyun-il�- pemain yang dikalahkannya pada final Terbuka Malaysia minggu lalu � di pusingan kedua hari ini.
Bagi Hafiz, ia meneruskan kemerosotan hari demi hari dan buat kali kedua berturut-turut tersungkur pada pusingan pertama, selepas mengalami nasib sama di Terbuka Malaysia minggu lalu, sekali gus mengecilkan lagi peluangnya untuk beraksi di Beijing, Ogos ini.
Jika di Terbuka Malaysia, Hafiz menjadi mangsa kepada rakan senegara Lee Chong Wei, di Korea, dia mudah diperlekehkan pemain muda Indonesia, Simon Santoso 12-21, 10-21 dalam tempoh 27 minit dan jika berdasarkan permainannya selepas dua kejohanan Siri Super, pasti tidak seorangpun akan mempertaruhkan wang mereka kepada Hafiz untuk melayakkan diri ke Olimpik.
Selepas hanya berada pada ranking ke-17 dunia, kekalahan pusingan pertama itu pasti akan merosotkan lagi kedudukannya melainkan Hafiz sedar daripada lamunannya serta mengenepikan masalah yang membelenggunya untuk bangkit dalam baki kejohanan yang tinggal sebelum berakhir kelayakan Olimpik pada 1 Mei ini.

Pesaing utama Hafiz di kelayakan Olimpik, pemain veteran Wong Choong Hann terus mengukuhkan cengkamannya untuk slot kedua di belakang Chong Wei, apabila melepasi halangan pertama dengan menewaskan bekas rakan sepelatih, Lee Tsuen Seng 19-21, 21-16, 21-10.
Pada pusingan kedua hari ini, Choong Hann akan berdepan pilihan ketiga, Bao Chunlai dari China.
Turut mengalami nasib sama ialah perseorangan utama wanita, Wong Mew Choo, apabila dikejutkan pemain tuan rumah, Lee Yun-hwa dengan 11-21, 16-21 serta meneruskan aksi tidak konsisten selepas berjaya mara ke separuh akhir di Malaysia, minggu lalu.
Begitu juga perseorangan lelaki Yeoh Kay Bin dan bekas pelatih kebangsaan Sairul Amar Ayob, turut ditunjukkan jalan keluar.
Berjaya mengelak daripada kekalahan pusingan pertama ialah beregu lelaki Mohd Zakry Abdul Latif-Mohd Fairuzizuan Tazari serta pasangan utama wanita, Wong Pei Tty-Chin Eei Hui
Zakry-Fairuzizuan menang 21-5, 21-13 ke atas pasangan Russia, Vitalij Durkin-Alexandr Nikolaekno dan akan bertemu beregu Indonesia, Luluk Hadiyanto-Alvent Yulianto di pusingan kedua manakala Pei Tty-Eei Hui menang percuma ke atas Gail Emms-Donna Kellogg dari England.




0 komen:
Post a Comment